Sunday, January 25, 2015

oh! Mr Ami bab 4

Bab 4



Ami menolak pintu utama itu perlahan-lahan. Terjingkit-jingkit dia mahu naik ke tingkat atas. Ini kalau kena tangkap dengan mamanya memang berdarah telinga kena membebel.

Pap!
Lampu terbuka.

Langkah Ami mati serta merta. Terkejut beruk sampai mahu terloncat keluar segala organ dalamannya. Dia menoleh ke kanan.

“Ohhhmak...” Ami hampir pitam melihatnya.

Puan Azura bercekak pinggang kemudian dia lihat jam di dinding. Sudah jam 2 pagi. Kemana saja anak terunanya itu pergi pada waktu begini?

Ami urut dada. Beg sandangnya jatuh meleret ke lantai.”Mama kenapa muka mama tu?”

“Bedak sejuk..” Jawab Puan Azura sambil memegang pipinya.

“Tak sakit jantung ke papa tengok mama macam ni?”

“Ami kemana ni? Dah jam 2 ni..”

“Study dengan Ray la ma...” Ami berbohong. Tak mungkin mama boleh tahu tentang kegilaannya pada Julia. Memang matilah kalau mama tahu. Silap hari bulan nanti mama dia akan haramkan dia ke sana lagi. Memang dia tak boleh kalau tak tengok Julia. Kering dia nanti.

“Kuat betul korang study sampai pagi macam ni...” Puan Azura rasa sesuatu. Dia mendekati anaknya.”Ni bau masam macam jeruk kenapa?”

Ami mencium bajunya. Memang lah bau macam jeruk. Separuh mati dia dokong Julia tadi.”Ooo.. tadi lepas study kami main badminton ma.. senaman la sikit kan. Takkanlah nak study je. Nanti tak pasal-pasal biol pulak anak kesayangan mama ni..” Ami tersenyum tanpa rasa bersalah kerana menipu. Terpaksa.

“Betul ni tak tipu?”

Ami angguk kepala laju. Tak berani mahu tentang pandangan mata mamanya. Bertambah seram melihat muka mamanya yang bertepek bedak sejuk. Dah macam hantu cina pun ada. Macam manalah papanya boleh tahan? Tak faham sungguh.

“Dah pergi naik mandi...”

“Ok ma..” Ami ambil beg di lantai.

“Oh ya, macam mana dengan rumah no 5 tu? Ada Ami pergi tanya dia pasal duit sewa?”
“Ohhh...” Ami baru teringat. Sebenarnya dia lupa mahu bertanya tentang duit sewa itu kepada Julia. Lupa atau dia tak sampai hati mahu tanya?

“Kenapa?” Tanya Puan Azura pelik.

“Oh... dia ada cakap. Bulan ni dia lambat sikit ma. Sebabnya gaji dia masuk lewat..”

“Setiap bulan lewat..”

“Ala ma... janji dia bayar kan?!”

Puan Azura angguk kepala laju.”Jangan bagi muka sangat Ami. Nanti penyewa-penyewa kita tu suka-suka je bayar sewa lambat..”

“Ma... Ami tahu mereka tu ada sebab kalau lewat bayar ma. Kita kenalah bertimbang rasa sikit ma..”

Puan Azura mencebik.”Baik sangat Ami ni..”

“Habis mama nak Ami jadi jahat? Tak berhati perut? Pecahkan pintu rumah dorang macam tu?”

Puan Azura ketawa kecil. “Muka sikit punya comel boleh ke nak pecah rumah orang...?” Sengaja dia mahu mengusik anak terunanya itu.

“Kalau marah boleh je..”
Puan Azura mengusap pipi anaknya.”Ami... belajar pandai-pandai ya nak? Ami tahukan besar harapan mama pada Ami?”

Ami angguk kepala.”Ye Ami tahu ma....percayakan Ami saja ya ma?”

Puan Azura menggangguk dengan senyuman.

“Oh ya ma... esok pagi Ami nak bawa bekal la ma..”

Puan Azura kaget.”Bekal?” Terkejut pula mendengar permintaan anaknya itu.

“Ami nak ikan kerisi masak kicap dengan sup sayur...”

“Hurm.. tak pernah-pernah..” Puan Azura naik hairan dengan sikap anaknya itu.

“Kenapa tak boleh ke?”

“Hisy! Apa tak boleh pula. Boleh...boleh. Apa saja asalkan Ami nak pergi sekolah..”Puan Azura tersenyum.

“Masak banyak sikit tau. Nanti nak kongsi dengan Ray..”

“Yelah mama tahu. Nanti mama buat dua bekal..”

“Sayang mama......” Ami melompat ke arah mamanya lalu di peluknya erat. Entah kenapa dia rasa cukup bahagia sekarang. Julia benar-benar menceriakan hari-harinya.

Puan Azura ketawa melihat keletah anaknya itu. Ami memang seorang anak yang periang. Tanpa Ami memang sunyi rumahnya yang besar itu. Sebab itu dia dah mula rasa sedih bila mengenangkan Ami akan keluar negara selepas SPM nanti. Bagaimanalah hidup dia dan suami tanpa Ami di sini. Sebak pula rasa.


Ami melipat sejadah lalu di sangkutkan di kepala katil. Hari ini adalah hari yang paling mengembirakan. Mungkin juga hari ini merupakan hari yang paling lama dia habiskan masa bersama Julia. Biarpun penat masih bersisa, dia tidak kisah pun.

Dia terus naik ke atas katil dan berbaring sambil melihat bintang yang di letakkan di syiling. Dia nampak Julia sedang tersenyum ke arahnya. Tangannya naik menyentuh dada yang masih lagi rasa bergetar.

Kuat sungguh aura Julia sampai dia rasa hidupnya sepi tanpa gadis itu. Biarpun dia tahu 7 tahun jurang usia mereka, baginya tiada apa yang mustahil bila ia di kaitkan atas dasar cinta.

Mungkin orang seperti Amar fikir yang dia cuma masih budak-budak yang tahu mengikut kata hati muda saja. Tapi Amar silap. Cinta tidak pernah berdusta. Dia akan buktikan cintanya itu bukan sesuatu perkara yang boleh di pandang sebelah mata oleh mereka.

Memikirkan selepas ini dia akan ke UK, hatinya jadi sayu. Apa yang boleh dia buat tanpa Julia? Bukan setahun dan bukan dua tahun. Paling tidak 5 atau 6 tahun dia akan menetap di UK. Abangnya Azrul sudah lebih 10 tahun menetap dan bekerja di UK. Dia masih tidak faham dengan abangnya itu. Apa yang best sangat tinggal di negara orang putih itu pun dia sendiri tidak faham Kalau balik malaysia, dah macam bela saka pula dia tengok abangnya makan masakan mamanya. Yelah... dekat UK celah mana nak dapat masak lemak cili api, asam pedas, nasi lemak semua tu.

Ami mengeluh resah. Tangan di letakkan di atas dahi. Sungguh hatinya risau mengenangkan Julia yang sendiri di sini. Dia tahu bagaimana kehidupan Julia. Pasti Julia akan sunyi bila dia tiada di sini. Tapi bermakna kah dirinya buat Julia?

Dia menarik bantal lalu di peluknya erat seperti eratnya dia Julia memeluk tengkuknya tadi. Masih terasa hela nafas Julia di telinganya. Sungguh... dia rasa mahu gila bila memikirkan peristiwa tadi. Rasanya itulah kenangan paling manis yang akan di kenang sampai bila-bila. Akhirnya dia terlelap dengan senyuman bahagia. Ya tuhan kekalkanlah rasa bahagia ini....

“Sayang.......”
Ami menggeliat kecil. Rasa geli pula bila ada sesuatu yang bergerak-gerak di kelopak matanya.

“Ami.. sayang...”
Sekali lagi suara itu menerpa cuping telinganya. Dia kenal suara itu. Ya... itu suara Julia. Dia takut mahu membuka mata. Bukan apa bila dia buka mata pasti ini semua cuma mimpi.

“Ami.. bangunlah...”

Terasa pula sentuhan pada lengannya. Mimpikah dia? Kalau mimpi bagaimana dia rasa ada sentuhan? Kalau dia buka mata pasti wajah Julia akan hilang dari mimpinya. Tak.... dia masih belum puas lagi bermimpikan Julia.

“Ami.. bangun sayang... bangunlah...”
Dadanya bergetar. Perlahan-lahan matanya terbuka. Dia tergamam dengan apa yang di lihatnya itu. Julia... ya Julia....

Julia tersenyum manja. Pakaiannya serba putih, rambutnya yang panjang itu di biarkan lepas. Julia nampak polos dan cantik sangat. Ami segera bangun dan duduk bersila di hadapan Julia.

“Kak Julia..” Bibirnya menyebut nama itu.

Pantas jari Julia melekap di bibirnya.”Julia...”

“Huh?” Ami terpinga-pinga.”Tak kena ketuk kepala ke?”Soalnya seperti orang bodoh.
Julia geleng kepala dengan senyuman lembut. Dia menyentuh pipi Ami yang putih bersih itu.

Perasaan Ami terbang seakan di awang-awangan. Sungguh dia rasa sangat bahagia. Tak pernah lagi dia rasa sebahagia ini.

“Ami.... janji dengan Julia yang Ami tak akan tinggalkan Julia ya?” Pinta Julia penuh pengharapan.

Ami tergamam dengan permintaan itu. Selepas saja SPM dia akan ke UK. Itu adalah perancangan keluarganya. Waktu itu terpaksa atau tidak dia akan pergi tinggalkan Julia bersama cinta dan harapan. Dia akan kembali dengan segulung ijazah. Dan pada waktu itu dia sudah bersedia mahu melamar Julia menjadi suri hidupnya. Mampukah Julia menantinya? Walaupun dia tahu pada waktu itu usia Julia sudah agak tua, tapi sumpah dia langsung tidak kisah.

“Sayang....” Tangan Julia di kucup berkali-kali.

Julia pandang wajah Ami. Mata Julia tampak berkaca. Seakan mengerti apa yang bakal di ucapkan oleh Ami.

“Julia... Ami... Ami terpaksa pergi. Tapi Ami janji Ami akan setia dengan cinta kita..”

Julia geleng kepala laju.”Jangan pergi Ami...” Rayu Julia.

“Tak boleh Julia. Ami dah janji dengan papa dan mama...”

Julia diam. Bahunya bergoyang menahan esak. Ami menarik Julia ke dalam dakapannya.”Maafkan Ami sayang... Ami tinggalkan Julia sekejap...”
Julia diam. Tapi masih menangis.

Ami rasa bersalah. Dia juga sedih mahu meninggalkan Julia sendiri di sini. Tapi dia tidak boleh mungkir janji dengan papa dan mamanya. Sejak kecil lagi papa dan mama berhajat mahu dia belajar di luar negara. Tak mungkin dia akan kecewakan mereka. Tapi Julia?
Ami menarik tubuh Julia. Dia merenung Julia dengan pandangan lembut. Dahi Julia di kucup perlahan.

“Ami.... jangan tinggalkan Julia..” Julia teresak-esak.

Ami memejamkan matanya. Rayuan itu menyentuh perasaan lelakinya. Sungguh dia rasa sedih sangat waktu itu. Dia mengetap bibir. Tiba-tiba pipinya terasa hangat. Ya dia air matanya mula mengalir.

“Julia tak ada sesiapa lagi selain Ami..”

Ami angguk kepala tanda dia memang tahu.”Maafkan Ami Julia...” Pintanya perlahan.
Ami pegang pipi Julia. Begitu juga dengan Julia. Dahi mereka saling bersentuhan.”Ami cintakan Julia... Ami cintakan Julia...” Ucap Ami penuh lirih.
Julia angguk kepala.”Love you to Ami...”

Ami senyum. Sungguh cuma perkataan itu yang mahu dia dengar sebelum dia berangkat ke UK.

“Terima kasih Julia sebab beri hati Julia pada Ami..”
“Tak... Julia yang sepatutnya berterima kasih pada Ami sebab Ami dah banyak berkorban untuk Julia..”

“Itu sebagai bukti Ami memang jujur dan ikhlas untuk Julia... sabar ya sayang? Nanti Ami balik, Ami janji kita akan bernikah.. bertahan untuk 6 tahun ini ya sayang?” Bisik Ami teresak-esak. Sungguh dia terlalu sukar untuk membuat permintaan itu tapi dia benar-benar terpaksa.

Julia senyum segaris kemudian dia angguk kepala perlahan.
“Julia..... Julia....” Ami teresak-esak.

“Ami... Ami....” Sayup-sayup saja kedengaran suara itu. Takkanlah suara Julia segarau suara papanya. Papa??

Ami buka mata. Dia pandang sekeliling bilik. Dia mengucap panjang sambil meraup wajahnya. Matanya jatuh pada bantal yang basah itu. Lah.... dia menangis? Lencun bantal peluknya itu.

“Ami...” Suara papanya kedengaran sambil mengetuk pintu biliknya.
“Pa... Ami dah bangun...!!” Laung Ami. Dia malas mahu bukan pintu. Nanti tak pasal papanya nampak dia menangis.

Dia lihat jam di atas meja belajarnya. Sudah menjengkah ke angka 6 pagi. Dia mengeluh lemah. Masih tersisa rasa sedih di hatinya. Dia sentuh dadanya. Sungguh dia rasa mahu menangis lagi. Tak sanggup rasanya membayangkan hari terkahirnya nanti bersama Julia. Sedihnya....... Dia mengambil bantal lalu menekup wajahnya ke situ. Drama air mata sungguh!


No comments: